Pesanan Untuk Muslimah

Posted on February 12, 2010

0


Seringkali kita mendengar banyak berita dan juga artikel berkenaan dengan keruntuhan rumah tangga, kisah rumah tangga selebriti-selebriti tanah air, dan banyak lagi yang sebahagian daripadanya adalah bersifat negatif.

Kahwin kemudian cerai seolah-olah telah menjadi lumrah bagi sebahagian golongan manusia yang kononnya berfikiran terbuka atau mungkin menanggap diri mereka berada di zaman serba moden. Apalagi apabila golongan tersebut beragama Islam, seolah-olah mereka ini berkahwin secara semborono atau secara mengkhinzir buta tanpa mengetahui dan mendalami selok belok, hukum hakam berumah tangga.

Apakah dengan hanya pandai membaca alif ba ta sudah cukup untuk dijadikan bekalan dan panduan dalam memacu kehidupan berkeluarga nanti?

Anak-anak dan isteri amat memerlukan petunjuk dari seorang suami, petunjuk ke arah kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Si isteri pula perlu untuk mendalami ilmu agama agar nanti dirinya tidak menjadi faktor suaminya dicampakkan ke neraka.

Tapi hari ini, semua itu seolah-olah sangat susah untuk dijumpai. Adakah ini harga yang perlu dibayar demi sebuah kemajuan materialistik?

Lihat saja di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, bagaimanakah anak-anak muda yang berbangsa melayu beragama Islam kita?

Berpeluk-peluk, minum arak, berfoya-foya, seperti sudah menjadi adat yang menjadi pegangan. Berkiblatkan barat  dan budaya-budaya negatif, ideologi-ideologi yang pelik dalam masa yang sama bercanggah dengan ajaran Islam telah menjadi pujaan dan pegangan oleh segolongan dari anak-anak muda sekarang.

“Kalau kamu hendak melihat sesuatu tamadun di masa depan, lihatlah akan keadaan anak mudanya di masa sekarang”


antara kata-kata yang saya ingat berkenaan dengan anak muda.

Berbalik kepada kisah perkahwinan yang memerlukan persediaan dari pelbagai sudut, marilah kita merenung, bagaimana Imam al Ghazali berpesan kepada puterinya pada hari perkahwinannya.

Pesanan Untuk Muslimat

Pesanan IMAM GHAZALI kepada anak perempuannya pada hari perkahwinannya:

ANAKKU!

Engkau sekarang akan berpindah dari rumah tempat engkau dibesarkan. Dan akan berada di tempat tidur yang engkau tidak engkau kenal. Dan rakan hidup yang engkau tidak biasa dengannya. Itulah suamimu..

Jadikanlah dirimu ibarat seorang khadam kepadanya. Nescaya dia pula akan menjadi khadam kepadamu. Jangan engkau memaksa-maksa apabila engkau meminta sesuatu daripadanya. Itu akan membuatkan dia berasa benci kepadamu. Jangan pula engkau menjauhkan diri, nescaya dia akan melupakan engkau. Dan kalau dia pula menjauhkan diri secara marah kerana sesuatu sebab yang tertentu. Maka yang eloknya jauhkanlah dirimu daripadanya semasa marah.

Peliharalah hidung, telinga dan matanya…Janganlah membiarkan dia menghidu sesuatu daripadamu melainkan yang harum. Janganlah membiarkan dia mendengar melainkan perkataan yang baik. Dan janganlah membiarkan dia melihat sesuatu daripadamu melainkan yang cantik belaka.

(Sumber)

Nah, wahai perempuan sekalian, ingatlah, tugas dan tanggungjawab anda selepas berkahwin sangat besar. Menjadi isteri yang solehah, insya Allah akan mendapat balasan yang besar di sisi Allah SWT. Mungkin ada yang mengatakan, kunolah kalau tidak memakai wangi-wangian, ketinggalan zamanlah kalau nak keluar pun kena memaklumkan kepada suami, atau tidak relevan lagi kalau perempuan tidak berhias ketika keluar ke pejabat atau ke mana sahaja dengan memakai perhiasan yang ditujukan bukan kepada suami sebaliknya untuk tontonan umum.

Sungguh bacullah suami tersebut, kerana membiarkan kecantikan isterinya dinikmati oleh orang lain. Untuk mendapatkan sesuatu yang mahal, pengorbanannya juga kenalah mahal. Begitu juga untuk mendapatkan redha Allah, pengorbanan terhadap keinginan hawa nafsu juga hendaklah digiatkan. Kepada kaum perempuan yang bakal berkahwin, ingatlah akan pesan Imam Al Ghazali kepada puterinya.

Semoga mendapat rahmat dan berkat dalam keluarga seterusnya melahirkan zuriat yang mampu menjulang kembali kegemilangan Islam.

Posted in: Keluarga