SPRM tutup lapan kes rasuah berprofil tinggi

Posted on February 13, 2010

0


PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup lapan kes rasuah berprofil tinggi yang disiasat sebelum ini termasuk membabitkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull berkata, semua kes berkenaan selesai disiasat dan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya, bagaimanapun ia diputuskan tiada pendakwaan akan dibuat.

“Keputusan dibuat Timbalan Pendakwa Raya dan ia dirujuk kepada Panel Penilaian Operasi, kita jelaskan sebab-sebab kenapa kes ini tidak boleh dituduh di mahkamah dan panel seramai tujuh orang ini berpuas hati dengan penerangan itu, sama ada daripada pihak SPRM sendiri atau daripada bahagian perundangan dan pendakwaan,” katanya kepada media di sini, semalam.

Bagaimanapun, Mohd Shukri berkata, ia tidak bermakna kes-kes itu bebas daripada kegiatan rasuah, kerana kekurangan saksi dan bukti juga boleh menyebabkan SPRM gagal membina sebuah kes yang kukuh.

“Bukti yang ada mesti mencapai 90 peratus baru pihak pendakwaan boleh membuat keputusan untuk mendakwa. Siasatan kes ini boleh dibuka semula sekiranya ada saksi baru yang tampil memberikan keterangan,” katanya.

Kes lain yang turut ditutup termasuk membabitkan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah; bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang

Mohammad Fairus Khairuddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Tan Beng Huat; ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail dan dua Ahli Majlis Tertinggi PKR, Cheah Kah Peng dan Peter Lim yang didakwa cuba merasuah calon Bebas DUN Penanti, Aminah Abdullah.

Mohd Shukri berkata, bukti yang ada mesti mencapai 90 peratus baru pihak pendakwaan boleh membuat keputusan untuk mendakwa.

“Bukan semua kes yang tidak dituduh ini tak berlaku rasuah, tapi sesetengahnya tak mencapai tahap yang ditetapkan dan banyak kelemahan wujud jadi Timbalan Pendakwa Raya membuat keputusan bahawa tak boleh dituduh di mahkamah,” katanya.

Mohd Shukri merayu orang ramai dan saksi yang terbabit supaya tampil dan memberikan keterangan yang betul supaya SPRM dapat membina kes yang kukuh.

Sementara itu, Syukri berkata, kes berprofil tinggi lain seperti melibatkan bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M Kayveas, kes Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan kes pemilikan kereta Lexus Menteri Besar Selangor telah selesai disiasat dan diserahkan kepada pihak pendakwaan.

“Ini membuktikan ketelusan SPRM dalam mengangkat martabat dan integriti SPRM khususnya dalam menyiasat kes yang berprofil tinggi,” katanya.

(copied from sinarharian.com.my)