Bahang Pilihanraya Kecil Hulu Selangor semakin terasa

Posted on April 25, 2010

0


Menjelang saja pukul 12 tengah malam tadi, telah bermulanya 25 April 2010, yang mana mengikut kalendar pilihanraya, hari ini merupakan hari pembuangan undi bagi parlimen hulu selangor, berikutan dengan kematian penyandang sebelumnya iaitu Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad.

Pukul 12 tengah malam tadi juga merupakan masa berakhirnya tempoh berkempen, secara rasminya. Walaupun begitu, saya yakin masih ramai di kalangan BN ataupun PR masih meneruskan kempen mereka, sama ada secara terang-terangan mahupun secara sembunyi-sembunyi. Ini perkara yang saya tidak hairan akan berlaku, kerana berkempen itu sendiri adalah sesuatu yang sangat subjektif, anda menceritakan kebaikan calon A kepada pihak ketiga juga dikira sebagai berkempen bukan. Nah, dalam pengamatan saya, SPR sepatutnya tidak perlu menghadkan masa berkempen. Mungkin SPR atau pihak berwajib risaukan isu keselamatan, takut-takut ada puak pelampau sama ada dari pihak BN atau PR, atau mungkin dari pihak bebas. Bagi saya, ini semua adalah bergantung kepada akhlak para petugas. Kalau petugas mangkuk sangat, suka nak memulakan dan meneruskan provokasi, bersikap nakal terhadap musuh-musuh politiknya, ini saya kira sesuatu yang tidak sihat. Buatlah macam mana sekalipun, nak hadkan masa berkempen, menghadkan kawasan berkempen, zon kawasan parti dan sebagainya, kalau para petugas tidak ada akhlak, semua itu tidak berguna. Pokok pangkalnya, akhlak kena jaga, dalam berkempen atau dalam berpolitik.

Melihat kepada trend atau mood pengundi, kita melihat, ada dua badan bebas yang melakukan kajian mengenai mood pengundi. Melalui kajian Ilham Centre, pengundi melayu berpendapat, BN akan memenangi pilihanraya ini sebanyak 37.2%, di ikuti dengan PKR sebanyak 16.1%. Perlu diingatkan ini adalah kajian mengenai pendapat parti manakah yang akan menang, menurut kajian Ilham centre. Namun, pihak BN jangan mudah berpuas hati kerana kajian tetap kajian, apa-apa boleh berlaku pada keputusan yang di jangka akan di umumkan pada malam 25 April 2010.

Lain pula jika dilihat akan kajian yang telah dijalankan oleh Zentrum Future Studies Malaysia, yang diasaskan oleh Dr Abu Hassan Hasbullah. Kajian yang dijalankan oleh pihak zentrum pula menunjukkan mood pengundi lebih cenderung kepada PKR berbanding dengan BN. Banyak faktor yang dilihat memberikan impak yang positif kepada PR. Berikut merupakan statistik kajian yang di jalankan oleh Zentrum.

10:00 pagi – BN 47.6% PR 52.4%

11:00 pagi – BN 49.4% PR 50.6%

12:00 tengah hari – BN 50.2% PR 49.8%

1:00 petang- BN 49.3% PR 50.7%

2:00 petang – BN 47.2% PR 52.8%

Seperti yang saya sebutkan kepada pihak BN tadi, pihak PR khususnya PKR, tidak sepatutnya berpuas hati dengan hasil kajian ini kerana apa-apa boleh berlaku dalam tempoh beberapa jam ini. Giatkan usaha anda sehingga ke detik terakhir pembuangan undi.

Serangan Isu vs Serangan Peribadi

Jika dilihat pada pilihanraya kali ini, BN kelihatan seolah-olah lebih menumpukan kepada serangan bersifat peribadi. Pelbagai isu peribadi yang telah didedahkan demi kepentingan survival politik bagi calon BN. Isu-isu seperti isu kaki botol dan isu judi yang sedikit sebanyak memakan ahli BN sendiri kelihatan agak kurang profesional. Jika dilihat dari sudut PR pula, serangan-serangan bersifat isu sejagat yang di bawa oleh PR lebih banyak memerlukan sedikit usaha dan masa untuk berfikir mengenai impaknya. Ini kerana pembawaan isu-isu kontroversi seperti isu APCO Worldwide, isu Scorpene, isu agen Israel di dalam PDRM, isu Felda dan sebagainya yang lebih bersifat sejagat, bagi saya memerlukan masa untuk menerangkannya kerana bagi yang tiada background knowledge untuk isu-isu tersebut, mungkin pengundi atau rakyat akan melihatnya hanya sekadar isu jajaan politik semata-mata. Bagi rakyat atau pengundi seperti ini, sesuatu yang memberikan impak terus ( direct impact) kepada mereka, itulah yang akan membekas di dalam diri mereka. Mungkin inilah punca kenapa BN masih di sokong walaupun banyak isu yang sedang membelit mereka, dengan bantuan kilat, ‘mi segera’ seperti yang di label kan oleh PR dan pelbagai lagi habuan yang memberikan impak terus kepada pengundi.

Dari pandangan saya, PR memerlukan sesi penerangan yang cukup ringkas, mantap dan padat, dan berada di level yang sama dengan para pengundi, bagi memudahkan para pengundi faham bahawa isu-isu yang dibawa oleh PR adalah bukan bersifat isu jajaan politik semata-mata, kerana saya yakin, isu-isu yang dibawa ini memberikan impak yang sangat besar kepada rakyat Malaysia secara khususnya.


Penggunaan Jentera awam

Tadi saya menonton berita jam 8 malam di TV3, dan saya lihat keadaan yang saya kira agak tidak seimbang di dalam berkempen antara BN dan PR. Kelihatan penguasaan yang melampau oleh pihak BN kepada media perdana. Jika dilihat, bukan semua rakyat di Malaysia mampu untuk menikmati sumber-sumber maklumat menerusi internet, dan kebanyakan dari mereka ini bergantung sepenuhnya dengan TV saluran perdana bagi mendapatkan maklumat. Justeru, tidak hairanlah kiranya ramai pengundi muda lebih tertarik kepada PR kerana dedahan internet yang begitu meluas kepada mereka.

Pandangan peribadi

Pihak PR mempunyai kelebihan dari segi isu yang di mainkan, kerana isu-isu yang dibawa boleh memenangkan mereka sekiranya mereka mampu menyedarkan rakyat akan kepentingan isu-isu tersebut dan bagaimana isu-isu tersebut boleh memberikan impak kepada pengundi. Mungkin PR tidak mampu untuk melawan BN dari segi pemberian materialistik seperti sumbangan-sumbangan, program-program dan sebagainya yang memerlukan satu sumber kewangan yang sangat kukuh, namun sekiranya PR mampu menggunapakai isu-isu yang di perjuangkan dengan optimum, di tambah dengan gerak kerja yang bersungguh-sungguh, saya optimis yang PR mampu memenangi pilhanraya Hulu Selangor. Namun, ini bukan bermaksud BN tidak mempunyai kekuatan. BN juga mempunyai kekuatan yang tersendiri. Yang pertama dari segi pengalaman yang mereka ada, pengalaman berpencak di gelanggang pilihanraya, di samping mengisi kemenangan mereka pada siri-siri pemerintahan mereka. Di samping itu, mereka juga kelihatan seperti mempunyai sumber kewangan yang begitu kukuh, saban hari kita lihat di dada-dada akhbar, di sisipkan berita-berita mengenai sumbangan besar-besaran atau kecil-kecilan BN terhadap pengundi, Di samping itu, yang jelas kelihatan adalah kekuatan materialistik mereka, dari segi penyediaan projek-projek mi segera mereka dan banyak lagi.

Ini perlu di beri perhatian oleh PR, kerana benda-benda seperti inilah yang di lihat oleh pengundi yang memberikan impak terus kepada pengundi. Sekiranya PR tidak mampu mengatasi kesan sumbangan-sumbangan segera ini dengan mengaitkan isu-isu yang bersifat sejagat ini kepada pengundi, tidak mustahil PR akan kalah, dan BN akan mengorak langkah ke hadapan dalam mendapatkan 2/3 kerusi parlimen.

Akhir sekali, teruskan berusaha dalam mencapai kemenangan, kepada BN dan juga PR. Tapi ingat, berlawan secara jantan, bukan secara pondan, melontar batu sembunyi tangan, tunjuk kat orang. Kepada pengundi, undilah yang terbaik, perhalusi secara terperinci akan calon-calon dan partinya, kerana setiap undi adalah sangat bermakna.