Me’Logging’ Ramadhan

Posted on August 15, 2010

0


“You need to read and interpret the log first, and then try to come out with the type of lithology like this…..”

Oh bagusnya baguslah sangat, bertambah lagi task kami untuk FDP kali ini. FDP, salah satu dari subjek pelajar tahun akhir bagi kejuruteraan petroleum. Kalau pelajar Kejuruteraan Kimia ada FYDP, kami pula ada FDP. FDP, singkatan dari Field Development Project, atau lebih di kenali sebagai Field Development Plan dalam dunia Oil and Gas, merupakan satu dokumentasi yang penting yang membentangkan opsyen atau pilihan dalam menjayakan sesebuah padang (field).

“FDP is a document, a technical document which specify all development options, which will be submitted to the owner of the hydrocarbon, and in the case of Malaysia, it is PMU”, ujar Syafiq, seorang Production Technologist dari SHELL.

FDP adalah sesuatu yang sangat menarik, memang menarik, dengan lambakan data yang perlu di cernakan, yang suatu hari nanti, benda-benda seperti ini lah yang akan menjadi makanan harian kami. Bercerita mengenai lambakan data, saya tertarik dengan log.

Contoh Log Data yang di cilok dari Encik Google

Log merupakan satu data yang boleh kita gunakan untuk mengenal pasti keadaan di ‘bawah’ sana, dan ada banyak jenis log, gamma ray, resistivity, dan banyak lagi. Kalau di amati, ianya seperti satu tapisan. Dari Gamma Ray, akan di bezakan antara shale dan sand stone. Sand stone akan menjadi perhatian. Dari sand stone pula, akan di uji lagi dengan log-log yang lain bagi melihat sama ada terdapat hydrocarbon atau air, dan akan terus di uji sama ada hydrocarbon itu adalah gas atau minyak.

Tapisan. Sesuatu yang seringkali terjadi dalam hidup kita. Di dapur, si ibu mungkin sedang menapis air kopi, bagi membuang serbuk kopi yang berlebihan. Di dalam sistem kumbahan pula, air kumbahan akan di tapis, bagi mengasingkan sisa-sisa kumbahan. Begitu juga dalam diri kita, kita akan di tapis melalui tapisan dari Sang Pencipta, sama ada kita betul-betul layak menjadi hambaNya yang di sayangi, atau tidak.

Saya teringat akan kata-kata seorang sahabat saya, “solat taraweh ni kita dapat tengok tapisan Allah, minggu pertama, penuh masjid, minggu kedua, dah kurang dah sikit, ketiga kurang lagi, inilah kot yang di maksudkan dengan awal ramadhan itu rahmat, semua orang dapat rahmat, bila masuk pertengahan ramadahan itu keampunan, kurang orang yang akan mendapat keampunan, dan bila masuk akhir ramadhan, iaitu pembebasan dari api neraka, semakin kurang bilangan orang dalam kelompok tersebut”

Ya, di sini, saban tahun perkara yang sama berlaku, pada malam pertama bulan ramadhan, orang berduyun-duyun datang membanjiri masjid, seolah-olah solat jumaat telah di ubah ke waktu malam. Alhamdulillah, sejuk mata memandang.  Namun, bilangan tersebut akan berkurang, dan mungkin akan terus berkurang. Jika di terjemahkan ke dalam bentuk graf, saya kira lebih kurang sama corak graf tersebut dengan graf pressure decline during the production of hydrocarbon.

Mungkin ada kekangan dari segi akademik atau apa-apa aktiviti lain. Tidak mengapa, saya tidak ingin mempersoalkan berkenaan dengan kekurangan tersebut dengan lebih lanjut. Cuma yang saya agak terkesan sedikit adalah berkenaan dengan satu persoalan yang timbul dari peristiwa tahunan ini.

Adakah ini hanyalah adat atau ibadat.

Adakah turun ke masjid bagi meraikan malam pertama ramadhan itu hanya budaya semata-mata? Tetapi malam-malam pada bulan selain ramadhan, hanya cukup untuk mendirikan solat di dalam bilik.

Adakah turun ke masjid bagi meraikan malam pertama ramadhan itu hanya budaya semata-mata?

Tetapi pakaian perempuan Islam tidaklah begitu menutupi auratnya sepenuhnya, masih kelihatan sisipan lengan, kaki, dan bentuk badan, yang saya kira agak jelas di terangkan di dalam alQuran akan batas aurat wanita.

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu Berjaya” Surah An Nur ayat 31

(penjelasan ayat tersebut boleh di rujuk kepada link ini, tetapi dalam bahasa inggeris atau boleh rujuk kepada para alim ulama, ustaz/ah tau kitab tafsir)


Mungkin kita boleh mengambil bulan ramadhan ini sebagai satu didikan kepada kita, bagi menjadikan diri kita lebih baik dari semalam. Semalam, kita mungkin jahil, tapi dengan adanya ramadhan, kita boleh menjadi lebih baik. Namun segalanya memerlukan usaha, kerana usaha itu tangga kejayaan, ujar beberapa orang tua pada masa dahulu.

Oleh itu, mari kita sama-sama mengambil segala ruang dan peluang yang ada untuk memperbaiki diri kita, agar kita mampu untuk menghadapi tapisan Allah SWT.

Sekian

P/S: FDP ini macam agak complicated~